sebagai Hamba ALLAH aku sayang padanya

Monday, 21 January 2013



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, marilah kita merafa’kan kesyukuran kepada Allah s.w.t  serta memperbanyakkan pujian kepada Allah s.w.t. Segala pujian hanya layak kepada Allah s.w.t. Selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga dan para sahabat baginda yang telah mengembangkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Bersempena dengan 12 Rabiulawal 1433H iaitu 5 Feb 2012, umat Islam diperingatkan mengenai kelahiran Rasulullah s.a.w dan juga kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.

Peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w dicatatkan dengan peristiwa pelanggaran tentera bergajah yang dipimpin Abrahah untuk memadamkan sinar di ka’bah dan pelbagai keajaiban yang berlaku pada waktu kelahiran itu. Manakala peristiwa kewafatan baginda memberi kesan emosi yang mendalam kepada para sahabat dan seluruh umat baginda. Namun begitu, pemergian baginda lebih penting, turut meninggalkan khazanah ilmu dan panduan kepada manusia untuk hidup di muka bumi ini yakni Al-Quran dan Sunnah.

Sebagai seorang Muslim, kita telah diperingatkan setiap tahun mengenai kelahiran  Rasulullah s.a w. Hal ini berlaku saban tahun melalui sambutan memperingati kelahiran Rasulullah s.a.w. pada 12 Rabiul Awal di seluruh pelosok negara. Mungkin ramai yang terlupa, tarikh itu jugalah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w ketika berumur 63 tahun di sisi Saidatina Aisyah r.a. Sepanjang hayat Rasulullah s.a.w merupakan limpahan sinar yang terang benderang kepada penduduk dunia ini. Justeru, seterusnya kita yang bergelar Muslim ini hendaklah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai tokoh agung yang kita ikuti dalam segenap aspek lapangan hidup. Hal ini seperti dalam firman Allah s.w.t, surah Al Ahzab ayat 21:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Maka apakah kita bertindak membelakangi firman  Allah s.w.t dengan melantik artis-artis dan tokoh-tokoh yang tidak islami sebagai contoh hidup kita? Ditakuti bahawa tindakan kita itu sebagai tidak mengakui keunggulan Rasulullah s.a.w dalam kehidupan kita.  Sebagai contoh, hal tersebut boleh berlaku kerana hati kita sudah tidak berminat mengambil tahu apakah pakaian dan makanan kegemaran Rasulullah s.a.w. Kita lebih gemar mengetahui makanan dan pakaian kegemaran artis yang tidak menutup aurat dan tidak mengikut syariat Islam. Lebih buruk lagi, apabila kita sebagai seorang Muslim menghina, mencemuh dan memfitnah perjuangan Islam yang diwariskan Rasulullah s.a.w kepada kita kini? Apakah hati, mulut dan tangan kita telah digunakan untuk menghancurkan perjuangan Islam. Maka janganlah sesekali mengungkap kalimah ‘Aku cintakan Rasulullah’ kerana kita tidak pernah mencintai Rasulullah s.a.w bahkan berpura-pura. Mohon dijauhkan kita dari perkara tersebut.

Justeru itu, bersempena sambutan Maulidur Rasul pada 1433H ini Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia menyeru kepada seluruh masyarakat kampus khususnya mahasiswa-mahasiswi agar kembali menilai diri, apakah kita menjadi umat Nabi Muhamad s.a.w hanya pada kalimah nama? Marilah kita membuktikan kecintaan kita kepada Allah dan Rasulullah s.a.w dengan mengamalkan Islam yang syumul dan selengkap-lengkapnya. Hal ini difirmankan Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 208:


"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum hakamnya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang dan nyata."


Jadikanlah Rasulullah s.a.w sebagai contoh kita dalam kehidupan seharian. Seluruh kehidupan baginda adalah terjemahan kepada Al-Quran. Para sahabat pernah bertanyakan kepada ummul mukminin Aisyah r.a.mengenai akhlak Rasulullah lalu Aisyah r.a menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran." 
Buanglah segala persepsi negatif dan alasan dalam diri kita mengenai Islam, Rasulullah s.a.w dan perjangan menegakkan Islam. Jernihkan kembali dan aturkanlah diri kita dalam saff perjuangan Islam. Akhir kata, saya mewakili seluruh saf pimpinan PMIUSM mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua masyarakat Islam di Malaysia

No comments:

Post a Comment